Thursday 19 May 2011

Strategi Agensi Antidadah Kebangsaan

Agensi Antidadah Kebangsaan mengariskan 4 strategi iaitu :
Strategi 1 :  Pencegahan
Pencegahan merupakan strategi jangka panjang bertujuan mencegah seseorang daripada terlibat dengan dadah. Ia dibahagikan kepada pencegahan awalan dan umum. Antara objektif pencegahan adalah :
  1. Membentuk pemikiran generasi muda yang akan datang supaya membenci dadah.
  2. Mengubah sikap dan persepsi masyarakat terhadap kegiatan dadah, jika sebelum ini masyarakat tidak mengambil berat mengenai masalah dadah sekiranya mereka tidak mempunyai ahli keluarga yang terlibat dengan penagihan dadah, sebaliknya mereka mencemuh dan menghina penagih dadah serta keluarga mereka. Mereka ini hanya mengambil berat setelah ahli keluaranya terlibat dengan dadah dan ini biasanya sudah terlewat. Sikap masyarakat sedemikian perlu dikikis dan penglibatan masyarakat dalam usaha-usaha pencegahan perlu diperluas dan dipertingkatkan.
  3. Menyediakan alternative untuk menyekat ahli masyarakat daripada terlibat dengan dadah. Ini adalah penting supaya kaum remaja dapat menggunakan masa lapang mereka dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Dalam hubungan ini, pertubuhan-pertubuhan masyarakat  boleh menganjurkan berbagai-bagai aktiviti seperti sukan, kebudayaan, pendidikan dan agama. Melalui penglibatan mereka  dalam aktiviti-aktiviti yang sihat ini boleh menghindarkan mereka daripada terjebak dalam kancah dadah.

Strategi 2 :  Rawatan dan Pemulihan
Strategi ini bertujuan untuk memutuskan pergantungan kepada dadah dan mencegah penagihan semula. Usaha pemulihan penagih dadah adalah berbentuk reformatif di mana penagih-penagih dipulihkan daripada satu keadaan penagihan kepada suatu perwatakan yang bebas daripada pengaruh dadah. Konsep rawatan dan pemulihan yang diamalkan di Malaysia berbentuk ‘Cold Turkey” di mana rawatan diberi tanpa penggunaan dadah gantian. Ini adalah berbeza daripada amalan setengah-setengah negara yang memberi dadah gantian kepada penagih-penagih. Majlis Dadah Kebangsaan  telah bersetuju menggunakan ubat-ubatan lain untuk merawat penagih dadah.
Pelaksanaan strategi ini memerlukan pengelasan penagih kepada dua kategori iaitu penagih di peringkat mencuba-cuba (experimental state) dan penagih tegar (hardcore). Ini supaya modaliti pendekatan rawatan dan pemulihan yang diberikan kepada mereka akan lebih berkesan dan sesuai.
Strategi ini menggunakan dua pendekatan iaitu :
  1. memutuskan pergantungan kepada dadah
Pendekatan ini melibatkan aktiviti – aktiviti seperti berikut :
                                I.            Pengesanan dan pengawasan penggunaan dadah pada peringkat awal.
Aktiviti pengesanan dan pengawasan penggunaan dadah di peringkat awal dijalankan supaya mereka tidak dibiarkan berterusan terlibat dengan penagihan dadah hingga peringkat serius. Kumpulan ini merupakan pengguna-pengguna baru (experimental). Mereka tidak memerlukan pemulihan intensif ataupun pengasingan yang lama kerana penagihan mereka masih di peringkat awal. Kumpulan ini lebih memerlukan sokongan terapi psikososial seperti rundingcara, penerimaan mereka oleh masyarakat dan keluarga, mendapat pekerjaan yang tetap dan suasana alam sekeliling yang menggalakkan mereka ke arah menjauhkan diri daripada dadah. Ini dilaksanakan melalui pengawasan intensif dengan melibatkan antara lain pegawai-pegawai pemulihan, guru-guru, ibu bapa dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.
                              II.            Pemulihan Institusi    
Kebanyakan penagih yang telah dikesan di tahun-tahun kebelakangan ini, adalah terdiri daripada penagih-penagih tegar yang telah menggunakan dadah sejak beberapa tahun. Mereka ini akan meningkatkan permintaan kepada dadah terutamanya heroin dan syabu secara berterusan. Mereka akan menyebabkan merebaknya penagihan dadah di kalangan pemuda-pemudi yang lain. Untuk menyara tabiat penagihan, mereka akan menjadi penjual dadah secara kecil-kecilan. Gejala ini akan membabitkan lebih ramai pemuda lain dalam kegiatan penagihan dadah. Hanya tindakan penguatkuasaan pencegahan yang kekal dan berterusan akan menyekat daripada menularnya wabak ini.
Pemulihan institusi melibatkan pengasingan seberapa ramai penagih daripada masyarakat dan mewajibkan mereka mengikut program rawatan dan pemulihan. Peruntukan di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 digunakan bagi memasukkan seberapa ramai penagih yang boleh ke dalam masyarakat supaya menjadi rakyat yang berguna dan produktif. Dalam hubungan ini, kemudahan-kemudahan rawatan dan pemulihan diperbanyakkan untuk menampung seberapa ramai penagih dadah.
Program  Rawatan dan Pemulihan perlu berbentuk ‘reformatif’ bertujuan melahirkan perwatakan yang bebas daripada dadah di kalangan penagih. Dalam hal ini unsur-unsur moral dan keagamaan, disiplin, sivik, kemahiran vokasional dan sebagainya akan diberi penekanan. Pengih-penagih dadah akan dilibatkan dalam semua aktiviti social dan ekonomi seperti bergotong-royong, kerja-kerja amal, kemasyarakatan, pertanian, ternakan dan aktiviti-aktiviti ekonomi. Bagi mancapai matlamat ini, setiap golongan masyarakat perlulah memberi sokongan masing-masing dengan menerima bekas penagih ke pangkuan mereka.
2.       Sterategi yang ke dua dalam rawatan dan pemulihan pula ialah  pula adalah  : Pencegahan semula
Program pemulihan ini ditumpukan kepada pengekalan sikap dan perlakuan penagih supaya bebas daripada dadah. Jika tabiat penagihan masih wujud di kalangan bekas penagih, maka program rawatan dalam institusi adalah sia-sia  sahaja. Apa yang perlu ialah satu program jagaan lanjutan yang lasak dan intensif yang melibatkan semua golongan masyarakat. Pertubuhan-pertubuhan sukarela seperti PEMADAM, Rukun Tetangga, RELA hendaklah membantu dalam usaha-usaha menjalankan program dan membantu menyerapkan semula bekas penagih ke dalam masyarakat.

Sterategi 3 : Penguatkuasaan
Penguatkuasaan merupakan strategi yang ketiga yang bertindak dalam tiga bidang iaitu :
i)                            Menyekat kemasukan dadah
Pencegahan kemasukan diutamakan untuk menghindarkan masalah dadah daripada memasuki negara ini. Strategi ini menekankan kepada usaha menguatkan dan mengukuhkan langkah penguatkuasaan untuk mencegah kemasukan dan bekalan dadah melalui jalan darat, laut dan udara. Di samping itu, usaha penguatkuasaan yang agresif terus dijalankan bagi membanteras pengedaran dan penjualan dadah dalam negeri. Rasional kepada strategi ini ialah sekiranya dadah tidak mudah dibawa masuk ke dalam negara, ia akan sukar diperolehi oleh pengguna.
ii)                          Penguatkuasaan Melalui Perundangan
Strategi ini bertujuan menggunakan undang-undang sebagai alat untuk menyokong pencegahan pengedaran dan penggunaan dadah. Strategi ini diperkuatkan untuk menjadikan dadah sebagai satu bahan yang berbahaya dan berisiko tinggi untuk dimiliki, dijual atau digunakan. Dengan demikian, bilangan pengedar dan penagih yang terlibat dan yang akan terus terlibat akan berkurangan. Undang-undang yang telah digubal adalah perlu untuk menjadikan hukumannya antara yang terkeras di dunia. Penguatkuasaan untuk merampas harta benda yang diperolehi daripada kegiatan pengedaran dadah juga akan dipertingkatkan.
iii)                        Risikan
Memerangi dadah memerlukan aktiviti risikan yang cemerlang. Maklumat risikan dari dalam dan luar negeri akan dijadikan senjata terhadap individu-individu yang terlibat di dalam pengedaran dadah. Segala pengumpulan maklumat boleh diperkukuhkan dengan mewujudkan pasukan risikan khas di kawasan sempadan Malaysia / Thailand dan di Sabah / Sarawak serta luar negara. Satu sistem penyebaran maklumat risikan diwujudkan untuk kegunaan semua agensi penguatkuasa.

Strategi ke 4 : Kerjasama Antarabangsa
Masalah pengeluaran dan pengedaran dadah mempunyai dimensi antarabangsa. Strategi dadah negera tidak mungkin berjaya tanpa sokongan dan kerjasama antarabangsa. Malaysia telah memainkan peranan yang aktif dalam menggerak dan memberi keutamaan kepada usaha mencegah / mengawal penagihan dan pengedaran dadah.
Objektif-objektif yang ditekankan ialah untuk :
·         memupuk kerjasama yang rapat dalam usaha pengawalan dan pencegahan dadah di kalangan Negara-negara di peringkat serantau dan antarabangsa dan
·         memperkuatkan usaha-usaha Malaysia dalam perjawatan dan pencegahan dadah diperingkat antarabangsa.
Untuk mencapai objektif yang tersebut, pendekatan yang akan dibuat ialah:
  1. meningkatkan pertukaran maklumat dalam semua bidang masalah dadah melalui organisasi serantau dan antarabangsa.
  2. meningkatkan pemindahan teknologi / metagologi pencegahan dan pengawalan dadah.
  3. mendapatkan bantuan teknik dalam mencegah dan mengawal dadah daripada organisasi antarabangsa dan negara-negara maju.
  4. menyertai persidangan , seminar, bengkel dan kursus di peringkat serantau dan antarabangsa.
  5. memajukan status pendekatan yang lebih positif dan tersusun dalam pengawalan dan pengurangan penanaman haram dan pengeluaran dadah.
  6. memajukan pengikhtirafan mengenai implikasi bahawa dadah itu mengancam keselamatan negara.
  7. memajukan penguatkuasaan undang-undang keras terhadap aktiviti pengedaran.

No comments:

Post a Comment